Kadang-kadang hidupnya terasa kosong, tiada ibu, tiada bapa. Nasib baiklah Mak Tijah ada. Mak Tijah menjadi pembantu rumahnya semenjak dia kecil lagi, manggantikan Rozie. Setelah kehilangan Rozie, Mak Tijah mengambil keputusan untuk menjaga Badrol. Walaupun usianya sudah melewati 60-an, Mak Tijah masih kuat. Kedut-kedut yang kelihatan di raut wajah Mak Tijah sedikit pun tidak menganggu kerja Mak Tijah seharian. Seingat Badrol, Mak Tijah tidak pernah jatuh sakit.
Sambil menghirup teh yang dibancuh Mak Tijahi, Badrol melayari internet. Dugaannya benar, kotak masuk emelnya penuh dengan notifikasi dari Facebook. Ucapan tahniah dari peminat-peminat Kelap Bolasepak Perlis. Tidak kurang juga yang mengucapkan selamat berjaya untuk perlawanan menentang Jepun nanti. Kalau hendak dibaca semua emel, memang Badrol tak mampu.
Sedang matanya mencari-cari emel lain selain notifikasi Facebook yang baginya melecehkan, Badrol terpandang satu emel. Nama penghantarnya agak pelik 'ewios@yahoo.com'. Dan mesejnya pendek 'sedarlah'. Badrol berfikir sejenak, siapa pulak 'ewios' ni? Seingat Badrol, dia tak punya kawan bernama 'ewios', mungkin spam. Lantas, emel itu dipadam sahaja.
'BUDAK KOMA SETELAH JATUH LONGKANG'. Laporan berita online itu yang menarik perhatiannya. Kesian, detik hati Badrol. Laporan itu dibaca Badrol dengan rasa ingin tahu yang mendalam.
Badrol bersyukur, sempat juga menitiskan setitik dua air mata. Terkenang kembali peristiwa ketika dia berumur 10 tahun. Peristiwa itulah yang meragut nyawa bapanya. Motor yang dipandu bapanya hancur, sementara kereta yang merempuh mereka dua beranak terhumban ke dalam parit. Badrol tidak mengetahui akan berita kematian bapanya sehinggalah dia sedar dari koma, 10 tahun kemudian. Tidak cukup dengan itu, emaknya pula menghilangkan diri sejurus sebelum Badrol bangun dari koma. Ketika itu, dia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kini, dia benci dengan insan yang bernama Rozie yang tergamak meninggalkannya di masa dia memerlukan belaian seorang ibu. Dan dia bersyukur memori bersama Rozie hilang dari kepalanya, akibat kemalangan tersebut.
Namun dengan berkat nasihat, latihan, dan motivasi oleh para doktor dan Mak Tijah, dia kembali pulih selepas setahun. Ternyata nasib menyebelahi Badrol kerana dia dipilih mewakili Kelab Bolasepak Perlis pada usia 22 tahun. Prestasinya begitu cemerlang, sehinggakan Badrol dihadiahkan tempat dalam kesebelasan utama bolasepak Malaysia. Kini, ada yang menggelarnya SuperBad, sepetimana Mokhtar Dahari digelar SuperMokh.
"Eh, dah lewat, esok membebel lagi Mak Tijah tu." Laptop ditutup dan Badrol masuk tidur.
x x x
Kek
"Hari ni hari jadi Bad, mak bawakkan kek ni khas untuk Bad, Bad suka kan? Kalau Bad boleh dengar, dan mak yakin Bad dengar, mak nak Bad tahu yang mak sayang sangat dengan Bad, bangunlah Bad, mak rindu nak dengar suara Bad." Air mata Rozie mengalir lagi. Menangis sudah menjadi rutin harian Rozie, kalau tak di hospital, di rumah. Kek itu diletak di atas meja di tepi medal emas yang dimenangi Bad. Rozie mengelap habuk yang singgah di medal itu.
"Mak! Mak! Bad menang mak! Bad menang!"
"Anak mak menang? Tahniah Bad, mak bangga dengan Bad." Satu kucupan singgah di pipi Bad.
"Ish makkkk!! Basahlah cium-cium pipi Bad! Mak, tadi Bad skor dua bijik gol makkkk."
"Wahhh, terernya anak mak, satu gol mestilah dibalas dengan satu kiss, meh sini mak nak cium pipi anak mak sebelah lagi."
"Makkkkkkkkkk!!!!!"
"Aunty apa khabar?" sapaan Asyraff menghentikan lamunan Rozie.
"Eh....aunty..sihat Asyraff. Asyraff..apa khabar?" Rozie mengesat air matanya, medal emas itu diletakkan kembali.
"Saya sihat aunty. Bad, selamat hari lahir. Bad perlu teruskan berjuang, ni mak Bad ni, dah rindu sangat dengan Bad. Now, let's see how you're doing today."
Selesai Bad diperiksa. Jawapan yang diberikan Asyraff kepada Rozie tetap sama, tiada kemajuan, kondisinya kekal di takuk lama. Dan Rozie tahu, ianya satu tanda yang tidak baik. Air mata Rozie mengalir lagi. Asyraff mencadangkan mereka berdua keluar berborak di taman luar hospital.
"Julia, awak tolong pantau keadaan Badrol sementara saya dan Puan Rozie tiada."
"Baik doktor."
bersambung..
No comments:
Post a Comment