xxx
Ish, takkan aku salah nampak kot. Tak logik pulak. Betul, aku nampak pompuan tu. Cantik, pakai baju warna hijau. Dan mukanya, mukanya macam pernah aku tengok, baju tu pun macam pernah aku tengok. Nak kata Mak Tijah, muka pompuan tu nampak muda. Dan cara dia senyum kat aku, buat aku rasa bahagia sangat-sangat, perasaan bahagia yang pernah aku rasa dulu. Perasaan yang sudah hilang dari aku. Apa yang dia cuba beritahu aku? "Tedaryahnak naklinyu?" "Tedar yahnak naklinyu?" "Pedar lahmak maklinyu?" Ish, tak masuk akal pulak.
Badrol terus berjoging, memasuki kawasan perumahannya.
Betul, senyuman itu. Buat aku rasa betul-betul bahagia. Seperti senyuman seseorang yang aku kenal, yang begitu rapat dengan aku.
xxx
Idola
Julia keluar dari rumahnya seawal jam 7 pagi. Memang sudah perangainya keluar awal. "Be the first to arrive, and the last to leave." Motto dunia kerja idolanya. Dia sangat merindui idolanya itu, saban hari doa dipanjangkan ke atas arwah. Perlis, walaupun tidak sepadat Kuala Lumpur, namun kesibukan jalan raya di pagi hari tetap ada. Well, it's normal, pagi-pagi hari orang keluar mencari rezeki, bisik hati Julia.
Sejam diperlukan untuknya sampai ke tempat kerja. Julia langsung tidak kisah, kerana itu pilihannya. Rumah sudah diberikan oleh pihak hospital kepadanya, namun dia memilih untuk tinggal di rumah arwah bapanya, di Padang Besar. Julia sukakan suasana yang indah dan tenang, jauh dari bandar. Dan memang sejak dari kecik, Julia tidak pandai bergaul, ke mana sahaja seorang diri. Dia senang begitu, baginya berkawan perlulah ada had, hal-hal peribadi dan privasi tidak perlu dikongsi bersama teman-temannya.
Ibunya meninggal sewaktu melahirkan Julia. Namun dia tidak pernah merasa kurang kasih sayang. Arwah bapanya sentiasa ada di sampingnya. Menemaninya semenjak kecil. Pernah juga bapanya mengupah orang gaji untuk menjaganya sewaktu kecil, namun tidak berhasil. Makanan yang diberikan orang gajinya dilempar ke lantai, susu yang diberikan pula dicurah ke atas lantai. Akhirya, bapa Julia mengambil keputusan membawa Julia setiap hari ke tempat kerjanya, sehinggalah Julia berumur tujuh tahun. Ternyata Julia lebih selesa begitu. Setiap pekerja di tempat kerja bapanya begitu suka dengan Julia. Bahkan ada yang mangambil giliran untuk mendukung dan bermain-main dengan anak kecil itu.
Kehilangan bapa tersayang benar-benar meragut hatinya ketika itu. Bapanya ditemui mati di tempat kerja, dengan kesan tikaman di dada. Polis mengesahkan bapanya dibunuh dengan bermotifkan rompakan. Dan polis hampir pasti bapanya dibunuh oleh seorang lelaki berdasarkan kesan pergelutan antara arwah bapanya dengan si pembunuh. Dompet, jam serta cincin arwah bapanya dirompak.
Julia begitu menyayangi bapanya. Lebih dari segalanya. Dan dendam sudah tersemat di hati Julia, dia jelik melihat wajah setiap lelaki, ikutkan hati, mahu dibunuh semua lelaki yang ada dunia ini.
xxx
"Bad, Bad ingat tak kecik-kecik dulu mak selalu dukung Bad? Bad suka sangat mak dukung Bad. Kalau sehari mak tak dukung Bad, Bad merajuk dengan mak, Bad taknak makan, minum pun tak. Bad tahu, Bad manja sangat dengan mak dulu. Hari pertama Bad pergi sekolah, Bad menangis dalam kelas sebab mak tinggalkan Bad dalam kelas sorang-sorang. Bukan mak sengaja Bad, tapi waktu tu Bad dah besar, Bad kena belajar hidup jauh dari mak. Waktu rehat, mak datang bawak bekal dekat Bad, Bad merajuk, Bad cakap mak jahat, tinggalkan Bad sorang-sorang, sampai Bad menangis-nangis. Puas mak pujuk Bad makan, nanti perut kosong, tak elok.
Bad kata, "Biarlah, mak tak sayang Bad lagi!" Tahu tak, mak rasa nak menangis waktu tu, tapi mak senyum je kat Bad. Mak cakap "Mak sayang Bad, tapi Bad kena belajar hidup tanpa mak, nanti-nanti mak dah takdak, Bad taknak makan? Bad taknak minum? Nanti perut kosong sapa nak urutkan?" Time tu Bad senyap. Bad pusing tengok mak, mak senyum kat Bad. Bad peluk leher mak, "Bad sayang mak jugak, mak janji jangan tinggalkan Bad lagi! Mak janji?" Bad tak sedar tapi waktu tu mak menangis, tapi mak tetap senyum kat Bad. "Mak janji Bad, mak tak tinggalkan Bad, sekarang makan ye Bad? Ni mak masak nasik lemak ikan bilis untuk Bad.
Bad dengar je nasi lemak ikan bilis, terus Bad berhenti menangis. Mak teman Bad makan kat situ. Kawan-kawan Bad semua dah masuk kelas, Bad baru nak start makan.
"Mak! Sedap mak masak! Macam kat restoran!"
"Baddd, telan dulu baru makan cakap Bad."
"Mak, Bad suapkan mak pulak eh? Nah!"
"Takpe Bad, Bad makan dulu, mak dah kenyang. Nanti mak makan."
"Kalau mak taknak, nanti habis Bad makan, mak makanlah!"
"Takpe Bad, nanti kalau habis kang mak masak lain Bad."
"Mak masak banyak-banyak tau, Bad nak makan lagi nanti."
Mak suka tengok Bad gembira. Tapi sekarang Bad dah terlantar kat sini, dah sepuluh tahun Bad. Bad bangun Bad, mak rindu. Sedarlah nn....aak emmm.....akkk rinnn........du"
Rozie menangis-nangis teresak di sisi Badrol. Namun wajah Badrol tidak menunjukkan sebarang ekpressi. Sukar bagi Rozie untuk menceritakan kenangan-kenangannya bersama Bad. Tetapi itulah yang disarankan Asyraff, bagi memberi semangat kepada Badrol.
Alat itu terus merakam..
xxx
Eh, dia nak ke mana tu? Ke mana pulak dia waktu-waktu begini? Rambut panjang dia pun nampak kusut! Sepatutnya dia menemani Puan Rozie sekarang di bilik Badrol. Takkan Puan Rozie tak datang melawat Badrol lagi hari ni?
bersambung..
No comments:
Post a Comment